Tuesday 26 February 2013

Biarkanku Terbang

Hari ni sebenarnya dah berapa juta kali dah aku pandang langit. Menanti sesuatu. Menanti hujan ke panas ke pelangi, aku sendiri tak tahu. Kenapa hati aku macam ni? Seperti ada rasa dalam diri yang ingin melonjak keluar, ingin membuak keluar. Tapi apa? Sekali lagi aku tiada jawapan.

Kiniku pandang jam tanganku, jarum menunjukkan jam 12 tengah hari. Matahari terpacak di atas kepala. Terik sungguh hari, bila mahu hujan? Desis hati kecilku. Aku berada di hentian bas, menunggu bas yang tak kunjung tiba. Inilah masalah negaraku, pengangkutan awam tiada yang menepati masa. Pastinya melewati masa. Aku jadi tak senang duduk begini.

Sedang menanti, di kejauhan mata, ku saksikan seorang lelaki duduk di atas jalan raya. Lelaki itu kusut masai, pakaiannya tak semenggah dengan koyak dan compang camping di sana sini. Lusuh benar seluar yang dipakainya. Orang itu bermonolog sendirian.

Aku terus tekun melihat orang itu. Adakah dia itu sihat? Atau mungkin, dia orang gila? Bercakap seorang diri, ini persis orang gila kata hati kecilku. Sedang memerhati, daripada tubir mata, kulihat sebuah kenderaan laju meluncur jalan raya. Lagaknya mahu melanggar lelaki yang ku klasikasikan sebagai gila itu.

Tidak, lelaki itu akan mati jika dilanggar terus. Aku perlu selamatkannya. Bicara hatiku yang paling dalam.

Lalu aku panjangkan langkah, deraskan larian, mencari sasaran. Ya, sasaranku lelaki itu, lelaki tidak terurus di tepi jalan itu. Kuasa apa aku tak tahu, larianku begitu deras laksana Usain Bolt kukira. Tanganku gapai bahu lelaki itu, lantas kutarik dia ketepi menjauhi jalan raya yang ada sebuah kereta gila meluncur laju.

Lelaki ini terselamat!

Hei engkau orang gila! Apakah engkau ini pekak atau tuli, buta atau pura pura tak nampak, ada kereta mahu melanggarmu? Janganlah jadi bodoh mahu mati sebegitu. Tempikku pada lelaki yang kurasa benar benar gila kerana caranya, ia seperti di dunianya yang sendiri.

          “Inilah manusia. Bicaranya suka ditempik tempik. Tutur katanya lancang melepasi bibir seperti tiada adab yang pernah dipelajari. Kamu itu manusia, umur baru setahun jagung, sudah pandai kurang ajar seperti ini, siapa yang mengajarmu? Dulu aku ada impian, aku ingin terbang. Tu nun jauh di atas sana. Bebas seperti burung burung di angkasa, namun, ini, hati ini tidak kukuh dayanya, selalu putus asa. Akhirnya, inilah aku terdampar di tepi jalan raya lalu dimaki dihamun saban hari. Yang lagi memilukan, dicaci oleh diri sendiri”

Seusai berbicara, lelaki yang kukatakan gila itu pun menoleh padaku. Seperti mahu gugur jantungku ini. Wajahnya itu, serupa dengan aku. Ya, ia sebiji benar. Bahkan kalau lihat seratus kali pun, itu memang seperti aku. Mana mungkin itu aku? Jeritku sekuat hati.

Badanku bergoncang. Mataku buka semula. Aku bermimpikah? Iya, aku bermimpi rupanya. Kuimbas kembali mimpiku. Seorang lelaki, kusut masai, mengaku diriku. Dia bicara tentang hati yang rapuh yang ku terjemahkan sebagai kurangnya keyakinan. Asalnya punya impian tinggi, tapi jatuh menyembah lantai kini.

Sekarang aku mengerti, mimpi itu miliki pengajaran bagi aku. Lelaki tidak teratur itu aku suatu hari nanti. Itupun jika aku ini masih belum kental dengan jati diri.

Baiklah, terima kasih wahai firasat hati, naluri jiwa, kini aku mengerti. Aku perlu yakin yang segalanya akan berlaku dengan baik. Asalkan aku ini percaya pada diri sendiri. Duhai hati, kuatlah, percayalah yang kamu itu sungguh hebat. Hebat kamu itu hanya kamu yang tahu.

Biarkan. Biarkan diri kamu terbang.


Sunday 10 February 2013

Parkour


                “Engkau janganlah mengaku kalah. Kita belum cuba lagi apa apa tau Meon!” kata Zack tegas. Dia risau melihat rakannya yang seperti hilang semangat untuk meneruskan perjuangan.

Mereka kawan sudah lama. Bercita cita ingin menjadi pemain parkour professional. Esok adalah harinya. Hari yang menentukan sama ada mereka layak ataupun tidak digelar sebagai ahli parkour professional.

                “Aku bukan nak mengaku kalah. Tapi, aku tak Nampak apa apa harapan yang kita akan menang pertandingan tu.” Balas Meon perlahan.

                “Weh Meon. Kau pandang aku sekarang.” Lalu Meon memandang rakannya yang begitu bersemangat memberinya semangat. Sedangkan dirinya, hilang semangat entah ke mana.

                “Meon, hidup kat dunia ni memang macam ni. Kejayaan tu tak datang bergolek. Kita kena usaha dulu baru boleh berserah. Kau tengok tu kat depan tu, ada tembok kan? Macam tulah hidup kita. Ada halangan. Kita tak boleh serah kalah sebelum cuba. Kita kena langgar tembok tu, baru kita tahu kita akan menang atau tak!” kata Zack dengan bersungguh sungguh seakan menyalurkan semangat untuk Meon.

Mendengar ungkapan yang keluar daripada mulut Zack memberikan dia semangat semula. “Baiklah Zack, aku yakin sekarang! Aku perlu kuat, perlu langgar tembok yang menjadi penghalang tu untuk berjaya!” balas Meon bersemangat. Sedangkan Zack senang melihat semangat Meon sudah kembali.

 Hari ini……

Damansara, Kuala Lumpur: Seorang remaja lelaki mati berlumuran darah seluruh badan. Ia dipercayai membunuh diri dan dianggap gila atau memiliki gangguan mental apabila dia merempuh dinding di atas sebuah bangunan berulang ulang kali. – reuters.

Susah kalau tak pandai membezakan literal dengan realiti.

Hidup di muka bumi ni adalah antara orang bijak pandai dan orang bodoh. Satu cadangan yang paling baik yang seharusnya diikut oleh kita semua adalah jangan jadi bodoh.