Saturday 13 September 2014

Rencana




Aku bukak kasut rona coklat lalu kuletak di atas rak bahagian tengah. Palitan tanah sudah kubuang terlebih dahulu sebelum ianya terletak elok di situ. Aku lepaskan mengah untuk seketika. Letih, itu yang aku rasakan. Letih dan penat itu pada asasnya suatu perkara yang sama. Tapi jika kau selami sedikit jauh, kau akan sedari bahawa ianya sesuatu yang ada bezanya. Apa bezanya? Fikirlah sendiri.

Tombol pintu dipulas, lalu aku langkah masuk dengan kaki kanan. Bukan apa, itu tanda rahmat. Aku letakkan beg bimbit di atas meja. Baju aku tanggalkan dan disangkut di birai katil. Tubuh kurebahkan. Aku hadap siling dengan pandangan kosong. Bilik itu gelap. Lampu kubiar tidak dibuka sekadar kipas kubiar pusing. Minda aku biarkan berlegar legar. Berfikir tentang rencana ini molek difikir dalam suasana tenang. Dan dalam keadaan gelap sebegini aku temui ketenanganku, entah kenapa, aku sendiri tidak tau.

Jika difikir lebih jauh, aku sebenarnya ingin sekali memiliki rumah sendiri. Rumah yang dibina di atas tanah sendiri. Rumah yang tidak rapat dindingnya dengan rumah orang lain. Atau bahasa mudahnya banglo. Ia tampak menarik. Dengan halaman rumah yang kau bebas lakukan apa apa. Menanam, buat padang bola, korek kolam renang, bina garaj besar besar - suka hati.

Aku juga mahu bina kafe. Kafe yang masih belum kutahu mahu letak nama apa. Aku cuma tahu, kafe itu ada taglinenya sendiri - "Meat and Dessert". Begitulah lebih kurang. Disebelah kafe, ingin kubina dengan bilik berdinding kaca, butik pakaian jenama sendiri. Koleksi pakaian gaya jalanan, moden, kemas, urban, casual dan sebagainya.

Dan ingin sekali aku, terbang keliling dunia. Berseorangan. Tapi, berdua lebih baik, kan? Heh. Daripada satu negara ke satu negara. Bermalam satu dua minggu. Berhenti, melancong sini sana. Ambil gambar banyak banyak. Kemudian terbang lagi ke negara lain.

Kalau fikir lagi dan lagi, mahu seronok diulik mimpi mimpi yang tak pasti. Baik aku bersedia. Agar suatu hari nanti, angan angan ini bisa aku jadikan realiti dengan sekali petik saja.

Ah, angan angan!