Saturday 28 September 2013

# A Story of Mango



Mango sedari makan malam tadi sudah masuk ke bilik. Dia tampak pikun. Dia termenung panjang di tepi jendela. Pandangannya ditebarkan jauh seluas awan lepas. Malam itu, langit dihiasi indah dengan bintang-bintang yang berkerdipan, seolah-olah menyenangi hari yang akan mendatang esok. Sesekali keluhannya kedengaran. Halus tetapi berat. Tiada gusar sebenarnya di dalam hati cuma rasa kerinduan yang cukup memuncak membuatkannya senang mengeluh. Keluh dalam rindu.

Mango menggeliat beberapa kali, meluruskan otot-otot yang letih dikerjakan seharian. Dia menarik jendela, dan langsir dikatup tetapi dibiarkan terbuka sedikit, memberi ruang cahaya bulan yang cantik menerangi biliknya itu. Dipandang jam loceng di atas meja lampu sekilas, sudah pukul 3 pagi. Pelik, dia masih belum merasa mengantuk. Pernah terbaca, orang yang sedang menanggung rindu yang mendalam, akan sentiasa menggambarkan perkara-perkara yang dirindui di dalam kepalanya lalu menyebabkan fenomena insomnia kecil mudah berlaku. Dia meleretkan senyuman. Benar, dia sudah kerinduan. Malas mahu berfikir panjang, dia baring. Selimut ditarik. Waktu harus berlalu cepat. Dia tidak sabar menunggu hari esok.

* * *

Di pintu pagar utama, orang ramai telah berkerumun. Masing-masing segak bergaya dengan pakaian masing-masing. Yang lelaki dengan tali lehernya dan yang perempuan dengan busana potongan badan mereka. Sekali pandang, majlis ini tidak ubah seperti majlis orang kenamaan.

DI kejauhan, tuan rumah mesra melayani para tetamu. Daripada yang tua sampai ke anak kecil, semua dilayaninya dengan baik sekali. Dia memang begitu, sikapnya yang mudah memahami dan menghormati orang lain, mudah mendapat tarikan semua orang. Senyuman tidak pernah lekang daripada bibirnya. Jauh di sudut hatinya, ada sesuatu yang menggembirakan. Sesuatu yang bersifat kerinduan.

Hampir satu jam majlis berlangsung, sebuah kereta limo berona hitam memarkir di ruang hadapan rumah agam itu. Seorang lelaki segak dengan tuxedo hitam kelabu keluar. Derap sepatu kulit coklat berkilatnya menggamit perhatian ramai. Karismanya cukup terserlah. Kaca mata gelapnya ditanggalkan dan disisipkan di kocek dada kirinya. Dengan tenang, dia melangkah ke rumah agam itu. Baru beberapa langkah, dia disapa satu suara.

                “Awak!” jerit kecil seorang wanita. Lelaki yang tadi baru sahaja ingin masuk ke halaman rumah itu terhenti. Dia menepuk dahinya dua kali dan menggeleng-geleng. Dia lupa, dia datang bersama pasangannya. Juga sebenarnya isterinya.

                Daripada bahagian sebelah lagi, keluar seorang wanita lengkap dengan baju kurung labuh berupa jubah berona hitam kelabu. Hijab yang dipakai berupa pashmina dililit dengan kemas. Manik-manik halus melekat indah menghiasi jubah dan hijab si wanita. Calitan gincu yang tidak terlalu menonjol menambah lagi seri di wajahnya yang semula jadi polos. Senyuman terleret dibibir tatkala melihat kealpaan si suami.

                “Amboi, dah sampai sini terus lupa bini. Taulah excited, paling-paling tunggulah saya dulu.” sindir wanita itu sambil ketawa kecil. Si lelaki yang tadinya sudah mendahului, kembali mendapatkan isterinya.
                “Ish mana tak excited. Lama gila tak jumpa. Sorry eh.” sengih lelaki itu. Lalu mereka berjalan beriringan masuk ke dalam halaman rumah.

Semua mata beralih pandang ke arah pasangan yang melangkah masuk itu tadi. Masing-masing seolah-olah memberi laluan kepada mereka dengan membuka jalan terus ke pintu utama rumah. Di situ, tuan rumah sudah menanti. Sebaik sahaja terpandang tuan rumah, lelaki tuxedo hitam kelabu tadi terus menerpa ke arahnya meninggalkan si isteri di belakang. Si isteri hanya tersenyum. Dia mengerti.

                “Mango! Ya Allah, rindunya dekat kau!” kata lelaki itu sambil memeluk kejap tuan rumah. Mango membalas pelukan dengan eratnya. Rasa kerinduan dan persahabatan mengalir dalam pelukan mereka. Rakan seperjuangan yang sudah 13 tahun tidak ditemui, muncul di pagi ini. Mereka ketawa riang.

                Pelukan dilepaskan. Masing-masing memandang sesama sendiri.
                “Eh, kami je ke yang baru sampai?” tanya Grape – lelaki bertuxedo merujuk dia dan isterinya – Strawberry. Mango sekadar mengangguk. Katanya, sebentar lagi pasti mereka sampai, lantas menjemput Grape dan Strawberry ke ruang dalam rumah.

                Di luar rumah agam, seorang wanita berkebaya biru muda bersama seorang lelaki tinggi lampai memerhati daripada kejauhan. Ada senyuman puas di wajah mereka.

                “Kiwi, betul kan ni rumah dia? Ke, kita silap? Macam rumah datuk bandar je gaya rumah depan ni. Besar nak mampus.” tanya lelaki berkemeja jeans rona campuran biru tua dan biru gelap.
                “Betul, konfem ni rumah dia. Dia memang kaya… Jom.” Jawab Kiwi lantas menarik tangan si lelaki.

                Masing-masing menjengah ke sana sini. Namun, kelibat orang yang dicari tidak kelihatan. Terkocoh-kocoh mereka ke sana sini, masih gagal menemui. Akhirnya, mereka bercadang untuk duduk di tepi kolam, lebih kepada menunggu. Mungkin tuan rumah sibuk.

                Di bahagian dalam, perbualan rancak di antara Mango, Grape dan Strawberry terganggu apabila seorang lelaki berkemeja putih bervest hitam datang menyampaikan berita. Sebaik mendengar pesanan itu, Mango cepat-cepat bangun. Gembira sungguh dia apabila mengetahui Kiwi sudah sampai. Mango, Grape dan Strawberry masing-masing berkejaran ke halaman rumah hendak menemui Kiwi. Mereka terpandang Kiwi di tepi kolam. Grape ingin ke sana, namun ditahan oleh Mango.

                “Baik kita guna ni. Biar market sikit minah tu, hehe.” Kata Mango merujuk pada alat pembesar suara. Grape bersetuju.

                “KIWI, KIWI, PERHATIAN KEPADA KIWI, SILA DATANG KE PINTU UTAMA.” Pengumuman dibuat. Para tetamu berbisik sesame sendiri.
                Kiwi yang sedang duduk-duduk bersama Orange – pasangannya itu tersentak lantas tergelak besar. Dengan tidak tahu malunya, dia menjerit,

                “Kurang ajar. Market lah doh aku macam ni! Kau ni, buat malu aku je lah Mango!” teriak Kiwi lalu melangkah ke pintu utama. Sebaik terpandang Grape dan Strawberry ada bersama, keriangannya tidak dapat dikawal lagi.

                “Oh my God! Grape! Strawberry! Oh my beautiful lady!” makin kuat tawa Kiwi lalu menerpa mendapatkan Strawberry. Seronoknya bukan kepalang. Orange yang jauh sedikit dibelakang mendapatkan mereka, berjabat tangan dan memperkenalkan diri.

                “Woi Kiwi, tak nak peluk aku ke? Come on man, lama kau tak jumpa aku ni weh!” usik Grape.
                “Kepala otak kau. Ni dua orang ni, siapa nak pujuk kalau cemburu?” jawab Kiwi merujuk pada Orange dan Strawberry. Semua tergelak mendengar jawapan Kiwi. Kiwi memang begitu. Sikapnya yang happy go lucky membuatkannya senang menghiburkan ramai orang. Sikap yang diketahui oleh mereka sejak 13 tahun lalu, masih seperti itu, tidak berubah ditelan waktu yang berlalu. Mango menjemput mereka masuk ke dalam. Di dalam, lebih selesa untuk ketawa besar katanya.

* * *

                “Eh kau at last berjaya jugak eh dapat laki tinggi lampai, Kiwi. Daripada dulu lagi mengidam kau tahu Orange? Hari-hari cakap nak boyfriend tinggi. Dia kata sweet kalau dia dapat yang tinggi-tinggi. Entah tang mana yang sweet pon aku tak tau lah. Kiwi ni bukan betul sangat. Dia punya berangan melebih-lebih.” kata Grape, mengundang tawa semua. Kiwi yang duduk di sebelahnya turut ketawa, tidak terasa dan tidak pula ingin menegah.

Rancak mereka berbual. Masing-masing dengan cerita masing-masing. Daripada cerita berunsur kerjaya sampai ke perihal peribadi.

                “Eh Mango. Aku nak tanya ni, kau macam mana sekarang? Bila nak kahwin?” tanya Grape.
                "Ha’a yelah, kau bila nak kahwin Mango. Muka dah hensem, duit dah banyak, takkan takde yang nak kot.” Kata Strawberry pula.

                “Ke kau memilih Mango? Cuba cerita sikit kat kitorang.” Tambah Kiwi. Orange yang berada di situ memilih untuk diam, kerana dia kurang tahu tentang mereka bertiga.

                Mango mengukir senyuman. Kelakar dengan kenyataan yang diajukan oleh rakan-rakan baiknya.

                “Tak lama lagi, aku kahwin lah.” Jawab Mango dengan sebaris ayat.
                “Haaa alahai, tak lama lagi tu bila? Dengan siapa?” tanya Kiwi.

                Mango senyum lagi.
            “Cuma sekarang tengah tunggu masa awek ni bagi jawapan.” Jawab Mango sambil menunjuk pada kepingan poster Apple di dinding rumahnya –Apple, kawan sekolah mereka sewaktu ketika dahulu. Mereka yang di situ tergamam sekejap kemudian ketawa mereka meledak. Tepat sangkaan mereka. Selama ini, Mango memang menaruh hati pada Apple. Cuma lelaki itu tidak pernah meluahkannya.

* * *

Mango senyum sampai ke telinga. Tawanya baru sahaja reda. Dikesatnya air mata yang mengalir dek kerana tawa yang begitu menghiburkan hati. Tak semena-mena, kepalanya terasa diketuk daripada belakang. Dia mengaduh. Namun ketukan kedua membuatkan dia tersentak. Kuat ketukan itu. Pandangannya mula kabur-kabur. Dia seperti di awang- awangan. Namun daripada pandangan kecilnya dapat dilihat rakan-rakannya masih ketawa. Ketawa yang dilihat ialah ketawa mati, ketawa yang beku seperti masa dihentikan. Pandangannya semakin kabur. Matanya terasa berat. Akhirnya dia rebah. Terasa seolah-olah dia jatuh daripada tempat yang tinggi. Dia terhempas.

MANGO membuka mata. Nafasnya tercungap-cungap. Dia lelah seperti berlari jauh. Dia mengerdipkan matanya beberapa kali. Matanya digosok beberapa kali. Dia di dalam bilik tidurnya. Di hadapannya, ada seorang budak perempuan sedang duduk bersila menghadapnya. Budak comel itu tersengih-sengih.

                “Eh Lemon, apa buat kat sini?” tanya Mango pada adiknya itu.
                Lemon tersenyum.
                “Kejut abanglah. Dah lah mengigau. Siap sengih-sengih, ketawa lagi. Mesti tidur tak basuh kaki, kan?” balas Lemon.

           Mango sekadar meleretkan senyuman. Lemon berlalu daripada biliknya. Dia menghantar adiknya hanya dengan leretan mata sahaja. Sekali lagi dia tersenyum. Tergambar mimpinya sebentar tadi.

Fikirnya, tak salah berangan jauh-jauh. Mana tau, suatu hari nanti, apa yang kita berangan nilah yang jadi realiti. Orang kata, semua benda mula daripada sebuah mimpi kan.

Mango tarik selimut semula. Dia bermalas-malas untuk bangun. Dia masih ada lagi 30 minit sebelum pergi ke sekolah. Sesekali terbayang wajah Apple. Tidak sabar rasanya untuk dia menemui gadis itu di sekolah.

Mango berangan lagi.